Lensa Others

Koloni ‘Lembah Harapan’

Dahulunya, Pusat Kawalan Kusta Negara di Sungai Buloh, Selangor pernah menjadi tempat pengasingan pesakit kusta daripada masyarakat, namun kini semua bekas pesakit yang masih tinggal di situ sedang melewati usia emas mereka.

PKKN diwujudkan di bawah Enakmen Kusta 1962 dan diisytiharkan oleh kerajaan pada tahun tahun sama sebagai penempatan untuk mengasingkan pesakit-pesakit kusta. Menurut Ketua Penolong Pengarah Kanan PKKN, Dr. Mohd. Hafizuddin Azman, di bawah enakmen tersebut, pesakit kusta perlu diasingkan.

“Dianggarkan lebih 3,000 pesakit kusta dari seluruh negara ditempatkan di kem pengasingan. “Antaranya, kem pengasingan di Setapak, Pulau Jerejak, Pulau Pangkor, Tumpat serta di Lembah Harapan Sungai Buloh (Leprosarium).

“Mereka ini diasingkan di sini kerana pada masa itu masih belum ada ubat yang boleh menyembuhkan penyakit kusta. “Lembah Harapan Sungai Buloh dibuka secara rasmi oleh Penguatkuasa Perubatan pertama, Dr. Gordon Alexander Ryrie pada 16 Ogos 1930 di sebuah kawasan berkeluasan 227 hektar,” ujarnya.

Ulasnya lagi, penemuan ubat ‘dapsone’ pada tahun 1940 membolehkan pesakit-pesakit kusta di Lembah Harapan Sungai Buloh mendapatkan rawatan sepanjang hayat.

Pada tahun 1994, negara telah mencapai matlamat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu kadar kes baharu kusta kurang dari satu nisbah 100,000 penduduk yang sepatutnya disasarkan pada tahun 2000.

Pada 1995, Program Kawalan Kusta Negara telah diintegrasikan ke dalam perkhidmatan dan perubatan kesihatan asas. Selepas itu, tiada lagi kes-kes baharu diterima masuk ke pusat berkenaan.

Katanya lagi, pada September 2006, Hospital Sungai Buloh mula beroperasi dan PKKN telah diserap di bawah pengurusan Hospital Sungai Buloh.

“Hari ini kira-kira 140 orang bekas pesakit kusta dah ahli keluarga masih mendiami pusat ini sama ada di chalet atau wad bekas pesakit kusta. “Purata mereka ini berumur lebih 50 tahun dan ke atas yang tinggal dalam kawasan berkeluasan 48 hektar.

Kongsinya lagi, bagi penduduk (bekas pesakit) yang masih tinggal di PKKN, mereka masih boleh menetap di situ sehingga ke akhir hayat. Ujarnya, andai pesakit sudah meninggal dunia, waris mereka tidak boleh terus menetap di sana.

Salah seorang penduduk yang kini tinggal di wad berkenaan, Ooi Say Cheong, 73, mengatakan, dia amat bersyukur kerana pihak PKKN masih menjaga kebajikan mereka yang dahulunya tidak dapat membayangkan kehidupan pada usia emas.

Dia yang ditempatkan di PKKN sejak berusia 18 tahun berkata, meskipun tinggal di pusat tersebut dan hidup dalam komuniti, namun dia turut terpalit dengan stigma masyarakat terhadap pesakit kusta.

“Kami tinggal dalam dunia sendiri, tidak boleh keluar. Ada kalanya terasa terasing dan tidak tahu bagaimana dengan masa depan. “Selepas penyakit kusta ada ubat, ramai antara kami masih kekal di sini kerana di luar sudah tiada siapa yang boleh bergantung. Malah, ada yang tinggal yatim piatu,” kongsinya.

Jelasnya lagi, walaupun PKKN bukan lagi pusat pengasingan pesakit kusta, namun dia masih ada tempat bergantung untuk penjagaan dalam keadaan semakin uzur.

Biarpun tinggal di wad, hidup Say Cheong tidak begitu sunyi kerana ada kawan-kawan tinggal bersama. “Malah, kami masih boleh menjalankan aktiviti seperti berkebun bagi mengisi masa lapang, selain menjalani rutin biasa,” katanya.

Gambar dan teks oleh Zulfadhli Zaki | Media Selangor

Kandungan berkaitan