Lensa

Hasrat Keramat Pembuat Gasing Pangkah

 

Hembusan nafas Wak Aziz semakin kedengaran. Gerak nadinya berdegup kencang dan peluh keringatnya jelas kelihatan menyusuri pipi namun kilas matanya tetap tajam melihat sasaran.

Itulah situasi yang boleh digambarkan sebelum Wak Aziz atau nama sebenarnya Mohamad Aziz Shamsudin, 62, sebelum beliau membaling gasing pangkahnya ke atas pihak lawan.

Gasing Pangkah adalah sebuah permainan tradisional orang Melayu adalah sejenis permainan yang alatnya berputar pada paksinya, sambil mengimbang pada satu titik dan kerap kali dipertandingkan antara kampung terutamanya di negeri Selangor, Pahang dan Johor.

Berasal dari Kg Bukit Kapar, Klang, Wak Aziz adalah merupakan salah seorang dari tiga orang pembuat gasing pangkah tradisonal yang masih wujud.

Merupakan pemain gasing pangkah sejak zaman remajanya, Wak Aziz hanya memerlukan satu atau dua jam sahaja untuk menghasilkan sebuah gasing dan terbaharu, beliau mendapat tempahan sehingga 500 buah gasing untuk di jadikan cenderahati oleh syarikat perumahan dalam masa sebulan.

“Setiap malam selepas waktu Isyak, ramai anak-anak muda akan berkumpul di gelanggang ini untuk bermain gasing pangkah.

“Sangat menarik apabila dapat melihat wajah-wajah mereka yang kadang-kadang kelihatan tegang walaupun suasana riuh bercampur aduk gelak ketawa,” ujar Wak Aziz berseloroh.

Wak Aziz turut berharap agar pelbagai agensi perlancongan mengetengahkan permainan gasing pangkah ini di seluruh persada dunia.

Menurut Wak Aziz, beliau agak bangga dengan anak-anak muda yang masih berminat dengan permainan gasing tradisional ini berbanding alatan gajet seperti telefon bimbit, permainan video dan lain-lain.

Gambar Oleh Harun Tajudin | Media Selangor

Kandungan berkaitan