Lensa

Senjata Geologikal Warisan Melayu

Sebut saja tentang ilmu persilatan, satu dunia sudah tahu ia salah satu khazanah rumpun Melayu. UNESCO juga pernah mengiktiraf seni bela diri berkenaan lahir di Asia Tenggara atau lebih tepat lagi Malaysia dan Indonesia.

Ilmu persilatan bukan hanya sarat dengan susunan seni gerak-geri, malah ia dilengkapi dengan gerakan permainan pelbagai jenis senjata. Antara senjata yang sinonim dengan silat ialah kerambit, parang, pedang, lading, tekpi, tongkat, tombak, cindai, kapak, sabit dan sundang.

Namun, senjata yang paling dekat sehingga menjadi simbol ketuanan Melayu tidak lain tidak bukan ialah keris. Bilahnya ada yang lurus, ada yang berluk. Keris mempunyai beberapa bahagian utama seperti bilah, hulu, dan sarung. Setiap ciri yang ada pada ‘tubuh’ keris mempunyai makna istimewa dan nilai estetik.

Walaubagaimanapun, ilmu persenjataan dalam silat bukan semua layak untuk mengamalkannya. Contoh gelanggang Seni Silat Jurus Rentak Makrifat di Jeram, Kuala Selangor menetapkan hanya murid yang diiktiraf berkemahiran dan mempunyai adab keperibadian yang tinggi dibenarkan mempelajari kemahiran bersenjata.

Pengasasnya, Mohd Rusdy Rusli, 31, yang juga Tukang Empu (pembuat keris) antara golongan yang dikenali sebagai ‘pandai besi’ berkemahiran menghasilkan keris jenis Sepukal.

Menurutnya, membuat keris adalah tugas berat selain perlu melalui proses pembuatan yang rumit. Sepanjang proses menghasilkan keris, tukang empu dipercayai tidak boleh dipengaruhi emosi atau dalam keadaan marah.

Pada peringkat awal, besi akan diikat dan dibakar sehingga lunak pada suhu tinggi sehingga ia bersatu sebelum diteruskan dengan kerja-kerja menempa (diketuk) berdasarkan jenis keris yang ingin dihasilkan.

Selepas selesai menempa berulang kali, proses seterusnya adalah mencanai bagi menajamkan mata bilah keris. la akan dibakar lagi dan direndam ke minyak sebelum hulu keris dipasang dan disimpan dalam sarungnya.

Gambar oleh Zulfadhli Zaki | Media Selangor

Kandungan berkaitan